Seperti mana gempar apabila pelakon Johan As'ari, 27, mengumumkan
mahu melamar pelakon Lana Nordin, 34, selepas tiga hari berkenalan,
situasi sama berlaku apabila bintang utama drama bersiri Juvana itu
mengambil keputusan memutuskan hubungan cinta mereka, minggu lalu.
Alasan Johan, dia membuat keputusan untuk memutuskan hubungan
dengan Lana kerana menghormati ibunya. Ternyata apa yang diperkatakan
sebelum ini mengenai ibunya tidak boleh merestui pilihan Johan adalah
benar dan Johan mengesahkan perkara itu.
Dalam hangat orang
memperkatakan isu itu, Johan pula dikatakan membuat kenyataan
sebaliknya apabila menegaskan selama ini dia dan Lana hanya kawan rapat.
Mereka juga sama-sama berlakon teater Bahayanya Wanita yang kini
dipentaskan di Istana Budaya.
Mengapa tiba-tiba pelakon yang dikenali dengan imej warak ini
mengubah kenyataan dalam tempoh sebulan? Ketika berkongsi kisah cintanya
dengan Lana, Johan mengakui begitu yakin dengan kata hatinya kerana
bayangan Lana dilihatnya ketika berdoa di depan kaabah. Bagaimanapun,
tiba-tiba lain pula kenyataannya apabila mengatakan antara dirinya
dengan Lana tidak lebih sebagai kawan rapat. Ramai melihat keputusan
Johan bukan disebabkan ibunya tetapi atas kehendak dirinya sendiri.
Tambah pula sebelum ini perkara sama pernah berlaku sewaktu dia menjalin
hubungan dengan pelakon drama, Izreen Azmindar. Johan juga pernah
dikaitkan dengan ramai selebriti popular antaranya Fasha Sandha, Nabila
Huda, Nita Hamzah dan Shila Amza tetapi perkara itu dinafikan dan
menegaskan antara mereka tidak lebih sebagai kawan rapat. Dia juga
pernah memberi kenyataan mahu bertunang dengan gadis yang bertugas di
stesen televisyen terkemuka, namun cerita itu lenyap apabila namanya
mula dikaitkan dengan Shila.
Mengenai kenyataannya sebelum
ini mahu melamar Lana untuk dijadikan isteri selepas tiga hari bertemu,
Johan akui ada niat untuk menyunting Lana.
Katanya, ketika
itu dia beranggapan ia tidak akan menimbulkan masalah memandangkan
sebelum ini Lana mengatakan dia mengenali ibunya.
 |
| LANA kini tidak menoleh lagi mengenang kisah cinta dengan Johan yang terputus di tengah jalan. |
“Apabila Lana mengatakan dia mengenali ibu saya, pada fikiran saya
hubungan kami tidak akan berhadapan sebarang masalah. Tetapi apa yang
berlaku sebaliknya apabila ibu masih belum dapat menerima Lana.
“Memang saya anak mak dan meletakkan ibu di tahap paling tinggi.
Syurga saya di bawah telapak kaki ibu dan naluri ibu sangat kuat hingga
saya akur dengan permintaannya. “Saya bimbang perkara ini akan
menyebabkan hati Lana lebih disakiti. Restu ibu itu sangat penting bagi
saya untuk melayari kehidupan rumahtangga. Contohnya apabila berkahwin,
saya mahu isteri dijaga ibu mentua terutama apabila mengandung dan
melahirkan.
“Bagaimanapun apabila perkahwinan itu tidak direstui, tentu
perkara seperti itu tidak berlaku dan ia pasti akan menyedihkan bukan
saja saya malah isteri saya. Apabila berkahwin, perlu ada restu dan reda
ibu,” katanya.
Sementara itu Lana atau nama sebenar,
Mazlina Hasan Nordin, 34, akui tenang menerima keputusan Johan. Pelakon
kelahiran Kuching, Sarawak itu tidak berasa terganggu sewaktu beraksi di
pentas teater Bahayanya Wanita. Tambah pula dia dan Johan berkongsi
pentas.
Ditemui sebaik pementasan tamat baru-baru ini, Lana
menegaskan sebelum ini keputusan untuk bercinta dan melamar datang dari
Johan dan untuk memutuskan hubungan mereka juga datang darinya.
“Mengapa saya perlu bersedih dan meratap? Orang sendiri boleh menilai
apa juga keputusan dibuat datang daripada pemikiran tidak matang. Saya
dari awal lagi sudah menasihatkannya supaya jangan membuat tindakan
terburu-buru sama ada membabitkan pengumuman mahu melamar mahupun
memutuskan hubungan. Tetapi jalan itu yang dipilih, saya ikut saja.
“Lagipun saya ini perempuan apatah lagi sudah dewasa. Keputusan di
tangan dia. Sebagai orang matang, saya hanya boleh menasihati tetapi
jika dia tidak mahu mendengar, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Dia
yang memulakan dan dia juga yang mengakhirinya. “Saya juga tidak
berdendam dan menganggap ini semua satu pengalaman untuk mengenal hati
budi dan sifat manusia. Kalau ada lagi lelaki seperti Johan yang cuba
mahu datang dalam hidup, awal-awal saya sudah dapat mengesannya. Pada
saya, apa yang berlaku satu pengalaman hidup cukup berharga,” katanya.
Kata Lana, apa yang membuatkan dia boleh menerima perkara ini dengan
tenang kerana ramai peminat memberi kata-kata semangat, memujuk dan
memintanya supaya sabar. “Saya berterima kasih kepada peminat yang
tidak putus-putus memujuk dan memberikan kata-kata hikmah menerusi
Twitter dan Instagram agar saya kuat berhadapan situasi ini. Syukur
apabila perkara ini berlaku, baru saya sedar ramai orang yang sayangkan
saya,” katanya.
Mengenai perubahan dilakukan demi Johan
sebelum ini, kata Lana sebenarnya apabila usia sudah mencecah 34, dia
memang sudah mahu berubah dalam hidup.
Katanya, apabila Johan
datang dan beriya-iya mahu menjalin hubungan serius, dia bersyukur
kerana memang itulah niat hatinya dari dulu mahukan seorang lelaki yang
mempunyai pengetahuan agama dan boleh membimbingnya ke jalan Allah.
“Apabila dia mengumumkan mahu melamar, saya memanjatkan syukur dan
berasakan doa saya selama ini didengar Allah. Sekurang-kurangnya dia
mampu membimbing saya dan anak-anak andai kami berkahwin.
“Tidak sangka pula apabila perkara ini berlaku, lain pula jadinya.
Begitupun, saya memang mahu berubah. Ingin saya tegaskan di sini
perubahan dibuat bukan kerana bercinta dengan Johan semata-mata tetapi
ini memang sudah niat hati saya. “Bagaimanapun, biarlah perubahan
yang berlaku itu dibuat perlahan-lahan. Saya sendiri kalau boleh tidak
mahu lagi berpakaian seksi, biarlah ia sedap mata memandang,” katanya.
Lana juga merancang mahu menunaikan umrah apabila segala kerjanya
selesai dan Johan juga begitu. Tujuan mereka ke sana pada awalnya mahu
berdoa di hadapan Kaabah agar hubungan dijalin lebih diberkati tetapi
sayangnya tiada jodoh antara mereka. Tegas Lana, dia melihat apa yang
berlaku ada hikmah dan tidak mahu menoleh kembali ke belakang. Apa juga
perancangan dibuat sebelum ini (mahu berubah) akan diteruskan demi
kebaikan dirinya dan keluarga.